Usahawan Zuraini Bakri menunjukkan koleksi tudung yang dijual di salah satu cawangan butiknya. Beliau antara penerima manfaat skim pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) untuk mengembangkan perniagaan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peniaga perlu modal dipelawa mohon skim pembiayaan Hijrah

SHAH ALAM 15 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan skim pembiayaan kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau usahawan untuk mengembangkan perniagaan.

Pembiayaan yang ditawarkan ialah Skim i-Bisnes, Skim Zero To Hero, Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI), Skim Go Digital, Skim i-Bermusim dan Skim Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

Agensi itu memaklumkan pemohon boleh memuat turun maklumat pembiayaan menerusi https://www.hijrahselangor.com/risalah-skim-hijrah…/ atau pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/.

“Mereka yang berminat juga boleh menghubungi 19 cawangan Hijrah berhampiran untuk mendapat maklumat lanjut berkaitan pembiayaan,” maklumnya di Facebook.

Hijrah menyediakan pinjaman kewangan kepada peniaga yang menghadapi masalah kekurangan modal.

Pinjaman diberikan dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM100,000 mengikut syarat ditetapkan.

Sehingga Jun 2023, seramai 58,464 peserta terlibat dengan dana lebih RM768.8 juta. Seramai 34,823 penerima atau 60 peratus adalah usahawan wanita.

Selain itu, Hijrah juga menganjurkan pelbagai program secara percuma seperti kelas strategi TikTok untuk meningkatkan perniagaan secara digital.

Turut diadakan kursus pemasaran bagi memastikan peniaga serta produk yang ditawarkan kepada pelanggan kekal berdaya saing di dalam dan luar negara.

 


Pengarang :