Zuraini Bakri menunjukkan koleksi tudung yang dijual di salah satu cawangan butiknya. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Hijrah bantu usahawan butik bangkit, kini miliki dua cawangan

Kedai kena pecah masuk, barangan jualan tidak laku dan tempat berniaga lengang. Itu antara cabaran dilalui usahawan Zuraini Bakri, 42.

Insiden kecurian pada 2019 menyebabkan ibu kepada dua cahaya mata itu menanggung kerugian lebih RM10,000. Tidak lama selepas itu, kedai ditutup berikutan jualan tidak memuaskan kerana pasar raya tempatnya berniaga selalu lengang.

“Bagi orang yang ada modal besar, RM10,000 itu mungkin tak menjejaskan tetapi peniaga kecil macam saya cukup beri kesan besar,” kata pemegang diploma pengurusan perniagaan Universiti Teknologi Mara.

Zuraini mula berniaga sepenuh masa pada 2011 selepas enam bulan melahirkan anak sulung. Pada masa itu, beliau menjual beg tangan berjenama menerusi Facebook.

Bekas eksekutif kewangan syarikat petroleum terkemuka dunia itu menjual beg tangan yang diperoleh terus dari China. Perniagaannya ketika itu meraih untung bersih RM10,000 sebulan.

“Tetapi tak bertahan lama. Bila pasar raya borong di Klang dan Kuala Lumpur dibuka, orang sudah boleh beli beg tangan berjenama di sana. Barang kita susah nak jual. Pada 2015 saya berhenti berniaga,” ceritanya.

Zuraini tidak duduk diam. Melalui modal sebanyak RM5,000, beliau mencuba pula berniaga kain tudung jenama terkenal Naelofar pada 2016.

Pada mulanya, beliau berniaga dalam talian di Facebook dan Instagram. Sambutan sangat baik sehingga perniagaannya terpilih sebagai 10 stokis jualan tertinggi di Malaysia.

Pada 2017, beliau membuka kedai di pasar raya baru dibuka di Kota Damansara. Namun, pasar raya terbabit selalu lengang. Beliau cuba bertahan berbekalkan simpanan Amanah Saham Bumiputra.

Antara koleksi tudung yang terdapat di butik Zuraini Bakri. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kembali bernafas

Beberapa bulan kemudian kedai di pasar raya itu ditutup sebelum berpindah ke pusat beli-belah Aeon Nilai, Seremban dengan modal RM5,000 yang dipinjam daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Nasib baiklah ada Hijrah, dapatlah saya bernafas sikit untuk mulakan berniaga tempat baharu.

“Syukur di Aeon Nilai barulah jualan meningkat. Selain itu berniaga dalam talian juga membantu dan sampai sekarang saya ada tiga orang ejen di Singapura,” katanya.

Tidak berapa lama selepas itu, Zuraini mengembangkan sayap perniagaan dengan membuka cawangan di pusat beli belah Aeon Rawang, Hulu Selangor.

Dua cawangan yang dimilikinya membolehkan beliau memperolehi jualan purata lebih RM45,000 sebulan.

Zuraini turut memohon skim i-Bermusim Hijrah berjumlah RM10,000 pula pada 2022 untuk menambah stok menjelang musim perayaan Aidilfitri.

“Masuk bulan puasa jualan naik mendadak tetapi bergantung juga kepada modal yang kita ada untuk tambah stok.

“Kalau modal pusingan tidak banyak, tidak dapatlah nak tambah stok dan jualan pun tidak banyak. Rasa rugi lepaskan peluang. Jadi saya mohon i-Bermusim untuk tambah stok,” katanya.

Syarat skim i-Bermusim menetapkan bayaran jangka pendek dalam tempoh enam bulan mampu dilunaskan beliau berikutan jualan musim raya memberangsangkan.

Pada musim perayaan Aidilfitri 2022 dan 2023 Zuraini memperoleh nilai jualan melebihi RM100,000.

Selepas mengharungi pelbagai cabaran berniaga, keyakinan Zuraini semakin bertambah untuk membuka butik besar dengan jenamanya sendiri pada masa depan.


Pengarang :