Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang inovasi ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

SIBS 2023 tarik 50,000 pengunjung, catat nilai potensi pelaburan RM4 bilion

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung sejak 19 Oktober melabuhkan tirai hari ini dengan menarik penyertaan kira-kira 50,000 pengunjung termasuk luar negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata edisi ketujuh acara kendalian Invest Selangor Berhad (Invest) mendapat sambutan luar biasa khususnya daripada pemain industri merentas sektor.

“Ia memang sudah jelas sejak hari pertama lagi yang mana kita dapat lihat maklum balas sangat baik. Setakat semalam, sekitar 41,000 pengunjung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita jangkakan hari ini dapat capai angka 50,000 sebagaimana disasarkan. Jika tidak capai, mungkin angkanya kurang sedikit daripada sasaran dibuat.

“Jumlah ramai ini menunjukkan komitmen besar daripada komuniti perniagaan dan kita sediakan perkhidmatan untuk mereka bincang serta cari titik kombinasi yang melahirkan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan majlis penutup Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (SRIE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata SIBS 2023 turut mencatat nilai potensi pelaburan mencecah RM4 bilion setakat semalam, mengatasi sasaran RM1.5 bilion.

“Setakat ini RM4 bilion tetapi angka rasmi akan dikeluarkan penganjur dalam seminggu dua lagi untuk melihat keseluruhan kejayaan program ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selepas ini paling penting bukan kumpul MoU, tetapi bagaimana mahu ‘materialise’ benda ini. Sebahagian besar patut digerakkan peniaga itu sendiri kerana akhirnya ini melibatkan kewangan mereka dan peluang untuk kembangkan perniagaan,” katanya.

Menyediakan hampir 1,050 reruai, SIBS yang dianjur sejak 2015 membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.

China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.

SIBS menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.


Pengarang :