Suasana sekitar ketika Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belanjawan negeri teruskan program bela rakyat, tidak pinggir aspek rohaniah

SHAH ALAM, 11 NOV: Belanjawan Selangor 2024 yang dibentangkan semalam disifatkan menyeluruh, memelihara kesejahteraan rakyat dan memacu ekonomi negeri lebih baik.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet berkata pelbagai peruntukan disediakan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua lapisan rakyat.

ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Contohnya RM19 juta disediakan untuk pembangunan sukan anak muda, RM 4 juta pembangunan wanita dan RM 1 juta untuk pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya sangat berpuas hati kerana belanjawan yang seimbang mengangkat mahasiswa, memartabat wanita, memperkasa pendidikan dan pembangunan teknologi,” katanya.

Sementara itu, ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim menyifatkan belanjawan negeri unik kerana mengutamakan program pendidikan sejak anak kecil hingga ke dewasa.

ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya gembira belanjawan kali ini lebih memfokuskan pendidikan, mahasiswa, anak muda dan tidak tertinggal wanita.

“Malah dalam kita membina infrastruktur serta memacu ekonomi, belajawan negeri tidak meninggalkan unsur rohaniah seperti program Akademi Literasi al-Quran, Festival Turath Islami, pengurusan masjid sehinggalah pemerkasaan institusi fatwa,” katanya.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri menyambut baik peruntukan sebanyak RM300 juta bagi kemudahan utiliti Pulau Indah yang membantu mengatasi bekalan air di kawasan tersebut.

“Pengumuman Dato’ Menteri Besar mengatasi masalah air melalui peruntukan RM300 juta dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk memasang paip dari Bandar Baru Klang ke Pulau Indah melegakan saya.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Apabila kita berhadapan dengan krisis air, Pulau Indah paling awal kawasan terputus bekalan air, dan Pulau Indah juga akan menerima kesan paling terakhir mendapat bekalan air semula,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Beliau turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September 2023.


Pengarang :