EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail (depan, kanan) menyertai ziarah kasih pada program Rumpun Selangor D’Desa daerah Kuala Selangor pada 21 Oktober 2023. Foto Facebook Rizam Ismail
EXCOSELANGOR

EXCO: Perkukuh usaha tingkat ekonomi, infrastruktur luar bandar

SHAH ALAM, 12 NOV: Belanjawan negeri tahun depan akan memperkasa ekonomi dan infrastruktur luar bandar sekali gus menyeimbangkan pembangunan antara kawasan.

EXCO kemajuan desa berkata peruntukan masing-masing RM4 juta bagi menaik taraf kemudahan awam dan pemberdayaan ekonomi desa membolehkan pelbagai agenda dilaksanakan termasuk menyusun sistem kepimpinan desa di bawah Gagasan Rumpun Selangor.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan peruntukan RM4 juta bagi kemudahan awam desa dan projek naik taraf jalan luar bandar manakala RM4 juta lagi bagi pemberdayaan ekonomi dan pembangunan desa.

“Saya juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kerana turut mengangkat cadangan saya untuk memperkenal Gagasan Rumpun Selangor di dalam usaha menyemarakkan perpaduan dalam kalangan warga Rumpun Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 pada Jumaat, memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.

Amirudin berkata Karnival dan Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor diadakan di sembilan daerah dengan peruntukan RM4.5 juta.

Pelbagai pengisian menarik diadakan antaranya jualan murah, sukan rakyat, saringan kesihatan, jerayawara, gotong-royong dan program bimbingan kerjaya.


Pengarang :