Graduan Majlis Konvokesyen Universiti Islam Selangor (UIS) Kali Ke-26 di Pusat Konvensyen UIS, Bangi pada 24 September 2023. Foto Universiti Islam Selangor (UIS)
AGENSISELANGOR

UIS sambut baik dana naik taraf infrastruktur, beri keselesaan 6,000 penuntut

SHAH ALAM, 11 NOV: Projek baik pulih infrastruktur Universiti Islam Selangor (UIS) yang akan bermula tahun depan bakal memanfaatkan kira-kira 6,000 penuntut institusi itu.

Rektornya Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata naik taraf kemudahan melalui sokongan dana Kerajaan Negeri mampu menjamin keselesaan pelajar sepanjang mengikuti pembelajaran.

“Peruntukan yang diumum Kerajaan Negeri membolehkan pihak pengurusan UIS membuat penambahbaikan terhadap beberapa elemen bagi kemudahan mahasiswa dan mahasiswi secara berperingkat.

“Kita melihat ada keperluan untuk naik taraf infrastruktur memandangkan ada satu sudut bangunan di UIS sudah cecah usia 23 tahun sekali gus memberi peluang pembelajaran lebih selesa dan kondusif untuk pelajar,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan peruntukan RM9 juta bagi naik taraf, baik pulih dan tambah baik infrastruktur UIS termasuk Universiti Selangor (Unisel) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pemerkasaan ketiga-tiga institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi fokus pentadbiran ini yang merangkumi turut merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan kapabiliti, kompetensi tenaga pengajar selain fasiliti pengajaran dan pembelajaran mahasiswa.

Mohd Farid berkata peruntukan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Selangor dalam meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung IPT terbabit.

“Insya-Allah, kita akan guna peruntukan ini untuk buat penambahbaikan apa yang sudah dirancang tahun depan. Mungkin kita tidak mampu baiki kesemuanya (kemudahan), tetapi sekurang-kurangnya sebahagian.

“Pada masa sama, kita sendiri akan ikhtiarkan peruntukan dalaman untuk menampung sebahagian pembaikan yang lain,” katanya lagi.


Pengarang :