Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)Dr Mohammad Khairil Mohammad Razi meninjau keadaan banjir di ladang kelapa sawit di Sungai Panjang, Sabak Bernam pada 6 November 2023. Foto PKPS
AGENSISELANGOR

Ladang kelapa sawit banjir, PKPS rugi hampir RM4 juta

SHAH ALAM, 7 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengalami kerugian hampir RM4 juta selepas ladang sawit miliknya di Sungai Panjang, Sabak Bernam dinaiki air lebih satu meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Mohammad Khairil Mohammad Razi berkata kejadian itu menyebabkan buah sawit tidak dapat dituai kerana risiko keselamatan yang tinggi.

“Ladang ini seluas 1,421 hektar dan 70 peratus dinaiki air. Banjir berlaku selepas ban pecah menyebabkan air Sungai Bernam mengalir ke kawasan ladang.

“Banjir memang kerap jadi tetapi kali ini paling teruk. Ban pecah jadi air sungai terus mengalir ke kawasan ladang. Lebih teruk ini banjir termenung.

“Untuk elakkan kerugian lebih banyak, pekerja kita tetap tuai buah di kawasan selamat menggunakan bot,” katanya kepada SelangorKini.

Susulan itu Mohammad Khairil berharap kerja penyelenggaraan ban dapat dilaksana segera bagi memastikan masalah tidak berulang.

Hujan lebat beberapa hari ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air termasuk kediaman penduduk.

Setakat 8 pagi tadi, seramai 685 mangsa banjir melibatkan 174 keluarga diditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan rumah mereka dinaiki air.


Pengarang :