Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bilik darjah baharu ketika hadir merasmikan Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Seksyen 2, Kajang pada 7 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Tumpu naik taraf kemudahan sekolah, tingkat mutu pendidikan

HULU LANGAT, 7 NOV: Perdana Menteri berkata pentadbirannya mengutamakan masalah rakyat terutama menyelesaikan hal asas berkaitan kemudahan sekolah seluruh negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mulai Januari depan beliau menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi memberi tumpuan bagi meningkat dan mengangkat mutu pendidikan.

“Mulai Januari 2024 penekanan kita selain selesaikan hal asas prasarana, saya sudah beritahu Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) tumpuan kita adalah meningkat dan mengangkat mutu pendidikan.

“Di Kementerian Pendidikan tak payah pikir masalah lain, tumpu sepenuhnya kepada perbaiki penguasaan bahasa, matematik, sains, komputer, agama dan semua mata pelajaran.

“Pendidikan bidang yang sangat luas. Prasarana asas kita bagi keutamaan gedung mewah boleh tunggu, masalah rakyat kita utamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif SK Bandar Baru Bangi di sini, hari ini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bangunan baharu Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Seksyen, 2, Kajang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Projek di SK Bandar Baru Bangi membabitkan bangunan empat bilik darjah, tandas lelaki dan perempuan serta kemudahan lain seperti menara tangki air, laluan berbumbung dan gelanggang sukan.

Sekolah terbabit antara tiga sekolah terpilih sebagai projek rintis bangunan daif selain dua sekolah di Hulu Perak, Perak iaitu Sekolah Kebangsaan Tan Sri Ghazali Jawi dan Sekolah Kebangsaan Seri Adika Raja.

Sejak 2016 hingga tahun ini KPM meluluskan sebanyak 996 projek pembinaan semula bangunan sekolah daif dengan kos sebanyak RM6.52 bilion.

Sehingga 3 November lalu, sebanyak 688 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah telah siap manakala 118 di peringkat pembinaan dan 190 projek peringkat prabina.

Bagi tahun 2024 pula KPM meluluskan 73 projek baharu pembinaan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara berjumlah RM 1.79 bilion.


Pengarang :