AGENDAJENAYAH

Mangsa rugi lebih RM800,000 terpedaya tawaran pelaburan di laman web

JOHOR BAHRU, 8 NOV: Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM846,500 dipercayai akibat terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi laman web sebuah syarikat dengan keuntungan lumayan dalam tempoh tiga jam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima aduan mengenai kejadian membabitkan lelaki berusia 49 tahun yang kini menetap di Australia itu menerusi seorang peguam pada Jumaat lepas.

“Kejadian bermula pada 16 Sept lepas apabila mangsa menerima tawaran melalui laman web syarikat dikenali sebagai TMGM untuk melabur sebanyak US$18,888 dan akan menerima keuntungan US$100,000 dalam tempoh tiga jam selepas itu.

“Tawaran itu dikatakan diberi bersempena dengan ulang tahun ke-10 syarikat TMGM dan mangsa percaya dengan keuntungan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa telah melakukan 12 transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank Malaysia yang keseluruhannya berjumlah RM846,500 antara 16 Sept hingga 26 Sept, namun setelah bayaran dibuat mangsa tidak menerima pulangan yang dijanjikan dan percaya dirinya telah ditipu.

Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada.

— BERNAMA


Pengarang :