Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama 1,000 peserta melaungkan slogan ‘Wanita Bangkit’ pada Program Wanita Bangkit @ KPWKM MyKasih Kapital YKN di Kuantan pada 5 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

8,930 peserta wanita bangkit berjaya tingkat pendapatan hingga lebih RM3,000 sebulan

KUANTAN, 5 DIS: Seramai 8,930 wanita menyertai program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital Yayasan Kebajikan Negara (YKN) tahun ini, dengan 90 peratus daripada mereka berjaya meningkatkan pendapatan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata program yang memberikan modal perniagaan berjumlah RM500 itu membolehkan peserta memperoleh pendapatan RM1,000 hingga RM3,000 sebulan, malah sebilangan peserta meraih lebih daripada itu.

“Program ini adalah bantuan kepada golongan wanita yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain wanita yang menjadi mangsa dera atau perceraian. Mereka ini ada bakat dan mempunyai produk sendiri yang boleh dijual, tapi tiada modal atau tidak tahu bagaimana hendak bermula.

“Program ini memberikan modal perniagaan, bimbingan dan motivasi serta menghubungkan mereka dengan jalinan perniagaan serta mentor berpengalaman, dan kini kita dapat lihat mereka menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.

Nancy yang juga Pengerusi YKN berkata demikian selepas menghadiri Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital YKN di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, yang disertai 1,000 peserta dari seluruh Pahang.

Beliau berkata peserta terlibat dipantau seawal tiga bulan oleh sukarelawan supaya matlamat program berjaya, selain membolehkan peserta yang layak dirujuk ke fasa seterusnya untuk mengembangkan perniagaan.

Kementerian juga menurut Nancy, akan berbincang dan berkolaborasi dengan pelbagai kementerian berkaitan bagi memastikan lebih banyak bantuan seperti peralatan dapat disalurkan kepada peserta bagi menjana lebih banyak pendapatan.

“Saya yakin Program Wanita Bangkit@KPWKM ini akan membantu wanita keluar daripada belenggu kesusahan sekali gus menjadi usahawan berjaya dan dapat membantu wanita lain dalam memberikan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun disyaki akibat didera di Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas, Nancy berkata pihaknya sedang menunggu laporan polis.

Media semalam melaporkan kematian kanak-kanak itu yang didakwa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya dan pemeriksaan awal hospital mengesyaki terdapat unsur penderaan dan pengabaian terhadap mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :