EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bercakap kepada media mengenai Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 5 Disember 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 700 isu kewarganegaraan berjaya diselesai MySel tahun ini

SHAH ALAM, 5 DIS: Sebanyak 764 isu kewarganegaraan berjaya diselesaikan unit khas Kerajaan Negeri, Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (Unit MySel) sejak Januari hingga November lalu.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata jumlah itu membabitkan lima kategori kes meliputi sijil kelahiran (196), warganegara (189), anak angkat (180), kad pengenalan merah (175) dan imigresen (24).

“Unit MySel merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu menangani permasalahan dihadapi rakyat Selangor khususnya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Kerajaan Negeri berharap melalui program ini kita dapat membantu generasi akan datang dalam meneruskan kelangsungan hidup dengan mendapatkan pendidikan sempurna sekali gus meningkatkan taraf hidup,” katanya.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bersama pemohon yang berjaya menerima dokumen pengenalan diri selepas sidang media Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 5 Disember 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika sidang media Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Pejabat EXCO, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Papparaidu menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai masalah sama boleh memohon secara terus dengan hadir ke Pejabat EXCO di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Pegawai MySel telah melaksana pelbagai kaedah hebahan berhubung manfaat program ini termasuk mendekati rakyat melalui pengedaran ‘flyers’, sesi penerangan dan ‘walk in’ ke pejabat Dewan Undangan Negeri.

“Pengedaran ‘flyers’ disusuli dengan kerjasama dan komitmen rapat bersama Pusat Khidmat Masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ketua Komuniti Kaum India setempat dan rumah ibadat,” jelasnya.

MySEL diwujudkan bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pegawai MySEL juga berperanan menyelesaikan masalah anak tidak memiliki surat beranak disebabkan sindiket perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka atas perkara tertentu.


Pengarang :