Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman merasmikan sesi dialog awam Pelan Induk Pengurusan Lalu Lintas Shah Alam (SATMAS) di Hotel Wyndham Klang pada 7 Disember 2023. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

MBSA laksana pelan pengurusan lalu lintas, capai status bandar raya bertaraf dunia

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan sesi dialog awam bagi mengumpul maklum balas pelan pengurusan lalu lintas sistematik dan efisien ke arah mewujudkan bandar raya bertaraf dunia.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata MBSA menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan Pelan Induk Pengurusan Lalu Lintas Shah Alam (SATMAS) meliputi kawasan berkeluasan 30,310.72 hektar.

Menurut Mohd Azhar Mohd Sharif, cadangan pengurusan lalu lintas itu dibahagikan kepada tiga tahun pelaksanaan iaitu jangka masa pendek (2025), sederhana (2030) dan panjang (2035).

“Fokus kajian SATMAS untuk mengenal pasti keadaan semasa pengurusan trafik, kelulusan pelan pembangunan dan menyediakan cadangan berkaitan bagi menyelesaikan masalah membabitkan lalu lintas dan sistem pengangkutan awam.

“SATMAS juga menyasar untuk memperkukuhkan sistem pengangkutan lalu lintas yang menyeluruh dan berkesan untuk menghubungkan pusat petempatan.

“Pengurusan lalu lintas meliputi kriteria seperti meningkatkan penggunaan fasiliti sedia ada mengikut keperluan pengguna jalan raya termasuk dalam aspek keselamatan, lindungi alam sekitar dan mempunyai reka bentuk mudah diubah suai.,” katanya menerusi kenyataan.

Sesi dialog rakyat yang berlangsung di Hotel Wyndham Klang pada Khamis dirasmikan pemangku Datuk Bandar IR Cheremi Tarman. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim, ADN Meru Mariam Abdul Rashid, ADN Kota Kemuning S Preakas dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman (tengah) melihat Pelan Induk Pengurusan Lalu Lintas Shah Alam (SATMAS) di Hotel Wyndham Klang pada 7 Disember 2023. Foto Facebook MBSA

Pengarang :