Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Polis sahkan wanita disimen dalam kolah kekasih suspek utama

SHAH ALAM, 9 DIS: Polis Selangor hari ini mengesahkan wanita yang disimen dalam kolah sebuah rumah di Kampung Pendamar, Klang pada minggu lepas merupakan kekasih suspek utama iaitu Mandeep Singh, seorang warga India.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa yang juga dikenal pasti sebagai warga India berusia 30-an, menetap di rumah tersebut bersama Mandeep Singh yang kini sedang diburu polis.

“Wanita yang berketinggian 160 sentimeter itu, dipercayai telah dibunuh sebelum disimen di lokasi tersebut. kita masih siasat berkaitan itu.

“Butiran suspek (Mandeep) telah diketahui dan waran tangkap akan diperolehi. Pihak polis juga akan minta bantuan Pesuruhjaya Tinggi India dan pihak polis negara itu untuk mengesan dan tangkap suspek ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hussein berkata setakat ini pihak polis telah merekodkan keterangan daripada 10 individu.

Foto Bomba Selangor

Pada 4 Disember lepas, polis mengesahkan penemuan mayat dalam keadaan disimen di dalam sebuah kolah di sebuah rumah di Kampung Pendamar dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga sedang mengesan dua lelaki warga asing iaitu Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang merupakan penyewa di rumah berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :