Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Kayan pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah beras, ayam, daging di tiga lokasi esok

SHAH ALAM, 9 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menjual barangan asas pada harga murah diadakan di tiga lokasi esok.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu berlangsung di Parkir Prima Damansara (DUN Bukit Lanjan); Kompleks Niaga Sungai Merab (DUN Dengkil) dan Kampung Orang Asli Batu 14, Puchong (DUN Seri Serdang).

Hari ini jualan sama diadakan di Balai Raya MPKK Jenjarom (DUN Banting), Dewan Serbaguna MBSJ Putra Permai (DUN Seri Serdang) dan Perkarangan Masjid Al-Khairiah, Parit 14, Simpang 5, Sungai Besar (DUN Sungai Panjang).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik melaksanakan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :