Dua beradik Mariam Abu Akel dan abangnya Hamed diselamatkan dari runtuhan rumah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 29 Disember 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Penduduk Palestin bergantung makanan dalam tin, Israel serang melalui udara

BANGI, 18 FEB: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata serangan udara di Rafah, Palestin berlaku tidak kira masa dan ketika ini, isteri serta anak-anaknya berlindung di sebuah rumah di Rafah, Palestin bersama kira-kira 30 individu lain.

Menyifatkan situasi di Rafah amat getir, beliau menzahirkan rasa syukur kerana isterinya, Reem Al-Minawi bersama tujuh anak mereka masih selamat dan boleh dihubungi.

“… Alhamdulilah, mereka masih hidup dan itu sudah cukup baik untuk saya. Memang tidak tidur malam fikikan keadaan mereka,” katanya yang lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.

Beliau berkata penduduk di Rafah mempunyai akses kepada makanan dalam tin kerana bantuan masuk melalui laluan itu.

“Serangan oleh Israel sekarang ini masih berlaku melalui jalan udara, maksudnya serangan berbentuk precise iaitu sesiapa yang mereka sasarkan sahaja.

“… belum berlaku serangan melalui jalan darat dan kalau berlaku, risikonya ribuan akan mati syahid,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bina Semula Gaza di sini hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas, serangan Israel ke atas bandar Rafah, yang terletak di selatan Gaza, baru-baru ini telah meragut kira-kira 100 nyawa.

Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 28,775 orang terbunuh manakala lebih 68,552 cedera.

Serangan rejim zionis juga mengakibatkan berlaku kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

– BERNAMA


Pengarang :