Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Pemilik bagasi berisi RM500,000 belum dapat disahkan

SHAH ALAM, 25 MAC: Polis belum dapat mengesahkan sama ada bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara Rabu lalu adalah milik sebuah syarikat teknologi maklumat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata selagi pengarah syarikat terbabit tidak tampil memberi keterangan, pihaknya tidak boleh mengesahkan status wang itu dan ia tidak boleh dituntut atau diserahkan kepada mana-mana pihak.

“Kita ada terima laporan individu yang mengaku pengarah sebuah syarikat jenis teknologi maklumat dan mendakwa wang berkenaan milik syarikat itu tetapi malangnya selepas beberapa hari, pengadu masih gagal hadir ke balai atas pelbagai alasan.

“Jadi kita masih belum dapat mengesahkan duit itu kepunyaan syarikat terbabit selagi pengadu tidak tampil memberi keterangan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata wang itu tidak boleh dituntut begitu sahaja tanpa pihak berkenaan memberikan bukti dan rekod yang jelas kepada polis.

Media sebelum ini melaporkan, pengawal keselamatan menemukan bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Semalam, pengawal keselamatan berusia 30-an itu membuat laporan polis mengenai penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana yang dijumpainya pada 8 pagi, 20 Mac lalu.

Berhubung perkembangan siasatan kes pukul seorang anggota polis hingga maut dua hari lalu, Hussein berkata keberadaan mangsa di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang itu dipercayai untuk menziarahi ahli keluarga sebelum ditemukan maut.

Beliau berkata siasatan mendapati anggota yang berkhidmat dengan Kontinjen Kuala Lumpur itu tinggal di Kuarters Polis Sungai Besi, Cheras dan sebelum menziarahi ahli keluarganya dipercayai berlaku pertengkaran antara mangsa dan isteri.

“Tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian dan orang awam yang mempunyai maklumat serta melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Semalam, lima lelaki berusia 19 hingga 23 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :