Orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (Padu) di kaunter yang disediakan Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia Selangor ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 4 Januari 2024. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Kaunter pendaftaran Padu dibuka di Kajang hujung minggu ini

SHAH ALAM, 20 MAC: Kaunter pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan dibuka Sabtu dan Ahad ini di Medan Selera Seeme Two, Sungai Chua, Kajang.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan memaklumkan kaunter pendaftaran dibuka mulai jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Pemohon diminta membawa telefon bimbit, kad pengenalan, maklumat akaun bank, kad pengenalan ahli isi rumah dan maklumat akaun bank ahli isi rumah.

“Inisiatif ini adalah kerjasama pejabat Parlimen Bangi, Jabatan Perangkaan Selangor serta Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kwan Say Hong,” katanya di laman X.

Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob berkata individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan sistem Padu bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.

Katanya pengemaskinian maklumat isi rumah itu penting bagi memudahkan penyaluran bantuan yang dirancang kerajaan pada masa akan datang.

Menurutnya pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac dan sangat mudah yang hanya mengambil masa kurang 10 minit selain dilengkapi aspek keselamatan tinggi.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.


Pengarang :