Sukarelawan menyusun makanan tidak habis terjual melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di bazar Ramadan Stadium Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA kumpul lebih 3,700kg lebihan makanan bazar takat seminggu

SHAH ALAM, 26 MAC : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengumpul 3,780.3 kilogram (kg) lebihan makanan di bazar Ramadan setakat seminggu program MySave Food@Bazar Ramadan.

Datuk Bandar Ir Cheremi Tarman berkata program mengumpul lebihan makanan itu semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peniaga sekali gus menyelamatkan ratusan kilogram makanan daripada dibuang.

“Kita mengalu-alukan peniaga bazar untuk terus menyokong program ini kerana secara tidak langsung kita dapat membantu golongan kurang mampu.

“Agihan makanan kepada golongan memerlukan itu selamat berikutan dihantar dalam tempoh dua jam,” katanya selepas Program Sumbangan Prihatin MBSA sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Dewan MBSA Kiambang, Seksyen 7 di sini semalam.

Program MySave Food@Ramadan Bazar dimulakan MBSA sejak empat tahun lalu dengan mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan.

Pada tahun ini, program diadakan dari Isnin hingga Jumaat membabitkan tiga bazar Ramadan iaitu di Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

Pelajar mengambil makanan yang disalurkan melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :