Wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim meninjau agihan pek makanan kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Melayu Subang pada 16 April 2024. Foto Facebook Izuan Kasim
ADNSELANGOR

ADN Kota Damansara sedia makanan, tong Roro buat mangsa banjir

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Kota Damansara menyediakan pelbagai bantuan kepada kira-kira 300 keluarga di Kampung Melayu Subang yang terjejas banjir susulan hujan lebat semalam.

Wakil rakyatnya Izuan Kasim berkata 1,000 pek makanan disediakan semalam dan hari ini untuk diagihkan kepada mangsa terlibat di kawasan berkenaan.

“Sejak malam tadi, kita agihkan 1,000 pek makan malam dan hari ini kita sediakan lagi 1,000 pek makan tengah hari kerana kita bimbang ada mangsa terkandas akibat banjir.

“Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dan banjir mulai surut di banyak tempat,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim membantu mengagihkan pek makanan kepada mangsa banjir di Kampung Melayu Subang pada 16 April 2024. Foto Facebook Izuan Kasim

Izuan menambah hari ini pihaknya memberi fokus terhadap kerja pembersihan dan menyediakan kemudahan tong ‘Roll On Roll Off’ (Roro) di lima kawasan strategik.

Lima kawasan itu adalah di Lorong Hajjah Lijah, Taman Setia Warisan, Jalan Merbau, Lorong Tembusu dan di Lot 3435, Kampung Melayu Subang.

“Tong Roro KDEB Waste Management Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Shah Alam diletakkan di beberapa tempat bagi memudahkan kerja pembersihan,” katanya.

Terdahulu, 403 mangsa melibatkan 88 keluarga sekitar Taman Saujana Aman, Kuala Selangor dan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh terjejas banjir susulan hujan lebat petang semalam.

Susulan itu dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Sungai Buloh dan Dewan MPKS Desa Coalfields, Kuala Selangor.

Tong ‘Roll On Roll Off’ (Roro) disediakan di lima kawasan strategik Kampung Melayu Subang susulan kejadian banjir di kawasan itu pada 16 April 2024. Foto Facebook Izuan Kasim

Pengarang :