Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Flat Putri Laksamana, Gombak pada 17 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hujan renyai tidak halang orang ramai kunjungi JER Sungai Tua

GOMBAK, 17 APRIL: Cuaca mendung dan hujan renyai tidak menghalang orang ramai beratur mendapatkan barangan murah pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Penyelarasnya Muhammad Syahmi Asymawi Solahudin berkata lebih 300 pengunjung hadir ke program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Flat Putri Laksamana di sini hari ini.

Penyelaras JER Muhammad Syahmi Asymawi

“Alhamdulillah, walaupun hujan pada awal pagi, program hari ini tetap mendapat sambutan, pengunjung masih menunggu di khemah jualan untuk mendapatkan barang keperluan mereka.

“PKPS menawarkan barangan dapur murah antaranya 500 ekor ayam segar, 200 pek daging, 300 papan telur, 300 pek beras lima kg dan 72 botol minyak masak lima kg,” katanya.

Fariz Zainal Abidin

Pekerja swasta, Fariz Zainal Abidin, 40, berharap JER diadakan lebih kerap bagi memudahkan penduduk mendapat bekalan barangan asas pada harga murah.

“Jualan murah ini membantu saya jimat sehingga 30 peratus dan saya ambil cuti setengah hari untuk membawa isteri berbelanja hari ini,” katanya.

Suri rumah, Nor Azura Mohamad Yusof, 31, pula berkata JER dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan jimat 50 peratus perbelanjaan dapur.

Nor Azura Mohamad Yusof

“JER hari ini tepat pada waktunya untuk menampung keperluan selepas raya saya telah berbelanja besar. Saya beli satu pek beras, dua ekor ayam dan sepapan telur mampu tampung keperluan tiga isi rumah untuk tiga minggu,” katanya.

Bagi Sureha Mastamal, 50, jualan murah itu membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap berjimat dan mendapat bekalan yang mencukupi banding membeli di luar.

Sureha Mustamal

“Saya bekerja sendiri menyediakan khidmat penjaga ibu berpantang tidak mempunyai pendapat tetap. JER ini membantu saya berjimat hingga 50 peratus,” kongsinya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :