Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Kes jenayah penipuan dalam talian catat kerugian RM37.2 juta

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Sebanyak 871 kes jenayah penipuan dalam talian dicatatkan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi tempoh 1 hingga 14 April lepas, dengan nilai kerugian lebih RM37.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata nilai kerugian itu adalah lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 1,465 kes dengan nilai kerugian lebih RM56.7 juta.

“Daripada 871 kes yang dicatatkan, jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi dengan 342 kes, diikuti jenayah e-dagang dengan 217 kes. Lain-lain kes adalah pelaburan tidak wujud (157 kes), pinjaman tidak wujud (112 kes), jenayah e-kewangan (29 kes) dan love scam (14 kes),” katanya pada sidang media situasi jenayah komersial di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan masyarakat berhubung aspek pencegahan jenayah menjadi pemangkin kepada pengurangan kes-kes jenayah dalam talian.

Beliau berkata secara keseluruhan bagi tahun ini sehingga 14 April, JSJK merekodkan 8,913 kes jenayah komersial melibatkan nilai kerugian RM835 juta berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan sejumlah 10,010 kes dan nilai kerugian RM504 juta.

“Kes bagi tahun ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus, namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar iaitu 66 peratus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :