Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Perkhidmatan van DRT kini di Puchong, hanya RM2 satu perjalanan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) diperluas ke kawasan Puchong menggunakan aplikasi Trek Rides DRT dengan kadar serendah RM2 bagi setiap perjalanan.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata perkhidmatan bawah inisiatif DRT Selangor Mobiliti memudahkan pergerakan penduduk sekitar khususnya ke stesen transit aliran ringan (LRT) berdekatan.

“Van ini dilengkapi kemudahan penyaman udara, besar dan selesa. Pengguna hanya perlu membuat tempahan menerusi aplikasi berkenaan dan akan dihantar ke lokasi dipilih.

“Pengguna juga hanya perlu membayar RM2 sahaja bagi setiap perjalanan. Ini merupakan subsidi daripada Kerajaan Negeri,” katanya menerusi video di Facebook semalam.

Menerusi video tersebut, Sze Han yang juga wakil rakyat Kinrara turut membawa Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan DRT.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata van DRT diperkenal bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkhidmatan itu boleh melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu mencapai laluan sempit dan padat.


Pengarang :