Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Belia dipelawa sertai program ADN Muda Selangor, daftar hingga 3 Mei

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Negeri mempelawa golongan belia menyertai program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2024 yang bakal diadakan pada 27 dan 28 Mei.

Terbuka kepada belia antara 18 hingga 35 tahun, tempoh permohonan dibuka sebulan sehingga 3 Mei menerusi imbasan kod QR atau laman sesawang dewan.selangor.gov.my.

Bulan lalu, Speaker Lau Weng San berkata program itu memberi peluang kepada belia menimba pengalaman sebagai wakil rakyat dan membahas usul seperti dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Jelasnya, program bersama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor itu juga mendidik peserta memahami proses penggubalan undang-undang peringkat negeri.

Program yang akan berlangsung di Bangunan Wisma DNS turut ditawarkan kepada belia yang menganggotai pertubuhan bukan kerajaan, penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

Penganjuran program ADN Muda Selangor yang dilaksana sejak 2013 merupakan program khas bawah DNS bagi melahirkan belia berfikiran kritis khususnya terhadap polisi Kerajaan Negeri.


Pengarang :