Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika berucap pada majlis minum petang di Pangsapuri Selayang Sejati, Gombak pada 8 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keputusan batal projek PJD Link tepat, ambil kira isu dibangkit penduduk

SHAH ALAM, 17 APRIL: Keputusan jemaah menteri membatalkan pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) adalah tepat selepas mengambil kira isu dibangkitkan penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbirannya pada 31 Julai tahun lepas membuat keputusan tidak meneruskan cadangan itu selepas pihak berkaitan gagal menyelesaikan isu dibangkitkan sepenuhnya.

“Cadangan pembinaan PJD Link diluluskan oleh kerajaan sebelum ini kerana bidang kuasa lebuh raya adalah di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Peranan Kerajaan Negeri hanya melibatkan pengambilan tanah serta piawaian dan impak alam sekitar.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum keputusan jemaah menteri yang datang tepat pada masanya kerana perkara ini telah dijadualkan untuk diputuskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Pada Julai tahun lepas, Amirudin menegaskan prinsip pentadbiran Selangor adalah pembangunan yang mampu mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi serta tidak memudaratkan rakyat.

Hari ini, jemaah menteri memutuskan projek pembinaan PJD Link tidak diteruskan selepas pemajunya, PJD Link (M) Sdn Bhd gagal memenuhi sejumlah syarat yang diperlukan.

Projek tersebut melibatkan cadangan pembinaan lebuh raya berkembar dua lorong sepanjang 25.4 kilometer yang bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Pemaju projek memeterai perjanjian konsesi dengan Kerajaan Malaysia pada 5 April 2022.

 


Pengarang :