Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau kualiti air selepas mengesan aliran kekeruhan tinggi di Sungai Batang Kali pada 17 April 2024. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

LUAS tindak pantas pantau aliran keruh sungai, pengguna tidak terjejas

SHAH ALAM, 17 APRIL: Loji Rawatan Air (LRA) Batang Kali di Hulu Selangor dihenti tugas sementara susulan aliran kekeruhan tinggi di Sungai Batang Kali, pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan penghentian tugas selama dua jam bermula 8.50 pagi tadi bagaimanapun tidak memberi kesan kepada pengguna.

“LRA Batang Kali telah dihenti tugas sementara bermula jam 8.50 pagi sehingga 10.50 pagi tadi sebagai langkah kawalan terhadap operasi loji berkenaan.

“Tiada sebarang kesan kepada pengguna berkaitan pembekalan air terawat susulan henti tugas sementara berkenaan dimaklumkan oleh pihak Air Selangor,” katanya di Facebook.

Menurut LUAS, situasi hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan aliran kekeruhan Sungai Batang Kali meningkat tinggi hingga ke tahap melebihi 1,600 NTU (Unit Kekeruhan Nephelometric).

Sehubungan itu, katanya, pasukan Skuad Pantas LUAS turun padang dan mendapati masalah kekeruhan berpunca daripada penerimaan hujan yang tinggi di kawasan hulu Sungai Batang Kali.

“Bagaimanapun LUAS turut menjalankan tindakan siasatan dan pemantauan susulan bagi aktiviti-aktiviti berpotensi seperti aktiviti kerja tanah di hulu muka sauk,” katanya.


Pengarang :