Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel berlindung di kem penempatan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 14 Februari 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Tentera Israel undur dari Khan Younis, selatan Gaza

BAITULMAQDIS, 8 APRIL: Tentera rejim berundur dari bandar Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, menurut laporan media Israel pada Ahad.

“Divisyen ke-98 dengan tiga brigednya, berundur dari Khan Younis malam tadi selepas tamat operasi di sana susulan pertempuran yang berlangsung selama empat bulan,” lapor Agensi Anadolu memetik Radio Tentera Israel.

Radio Tentera Israel berkata hanya ada satu briged yang tinggal di Gaza iaitu Nahal Brigade yang bertanggungjawab untuk mengawal koridor ditubuhkan tentera Israel untuk menghalang penduduk Gaza kembali ke utara wilayah itu.

Sementara itu, sumber Palestin memaklumkan tentera Israel berundur dari semua kawasan barat bandar Khan Younis sementara pasukan itu kekal ditempatkan di timur bandar berkenaan.

Menurut penyiar awam Israel KAN, tentera rejim berundur dari Semenanjung Gaza kecuali mereka yang berada di Bandaraya Gaza untuk menghalang kepulangan rakyat Palestin ke utara.

Operasi darat tentera Israel bermula di Khan Younis pada 3 Disember dengan tujuan menyelamatkan tebusan Israel yang ditahan Hamas.

Bagaimanapun berdasarkan dakwaan tentera, tentera penceroboh meninggalkan bandar itu tanpa mencapai matlamatnya.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :