PBTSELANGOR

MBPJ rasmi PPKB kedua di Taman Medan, bangun ekonomi setempat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) yang kedua dilancarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam usaha megutamakan kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan ekonomi bandar yang positif.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MBPJ menggalakkan penduduk menjana ekonomi bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk dan persekitaran bandar serta menyokong kempen bebas plastik.

Katanya, sasaran peserta projek itu daripada komuniti setempat dan peserta berdaftar dengan Sistem Miskin Bandar dan aktiviti dijalankan adalah menjahit beg kitar semula (karung kitar), pengubahsuaian baju dan seluar, serta penghasilan produk makanan seperti pau dan aiskrim.

“Menerusi PPKB antara projek semakin mendapat sambutan adalah Projek Karung Kitar. Produk karung kitar dihasilkan adalah bermanfaat dan berkualiti seperti beg, tikar, apron dan pelbagai lagi. Produk itu bermula sejak Jun 2016.

“Tercetusnya idea penghasilan karung kitar ini datangnya daripada lambakan kain rentang (banner) dan gegantung (bunting) di sekitar Petaling Jaya yang tidak digunakan kembali atau dikitar semula,” katanya pada perasmian pusat itu, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata projek karung kitar itu juga dilihat mampu merealisasikan hasrat MBPJ dan Kerajaan Negeri khususnya untuk menyokong Kempen Bebas Plastik dengan menjadikan beg terhasil melalui projek terbabit dijadikan sebagai alternatif kegunaan penduduk setempat.

Untuk rekod, pada 2016, sebanyak 32,605 unit kain rentang dan gegantung berjaya dikumpulkan. Manakala pada 2017 jumlah terkumpul sebanyak 44,647 unit.

Pada 2016, 1,540 unit beg kitar semula dihasilkan dengan pendapatan terkumpul sebanyak RM 6,410 dan jumlah itu meningkat pada 2017 dengan 2,780 unit beg dan pendapatan terkumpul pada 2017 sebanyak RM12,054.

=EZY=


Pengarang :