Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada 11 November 2019. -Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Najib guna RM42 juta untuk kepentingan peribadi

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan kedudukannya untuk ganjaran dan menggunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang beliau mempunyai kepentingan, untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata niat untuk mendapat ganjaran dalam kes ini boleh dengan mudah disimpulkan daripada keadaan, memandangkan kegagalan tertuduh untuk mengelak konflik kepentingan atau kedudukan pada mesyuarat Kabinet, menunjukkan niat jenayah terhadapnya.

Beliau berkata ini terutamanya apabila ditunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kepentingan dalam SRC yang juga dikawalnya, entiti yang terlibat dalam keputusan untuk memberikan jaminan kerajaan pada mesyuarat Kabinet yang memungkinkan pinjaman kepada SRC.

Jaminan kerajaan telah diluluskan dalam dua peringkat, sebanyak RM2 bilion setiap satu.

“Memandangkan tertuduh mengawal SRC, tertuduh boleh menyebabkan pemindahan dana syarikat seperti yang berlaku dalam tiga urus niaga berjumlah RM42 juta yang melalui syarikat perantara, dikreditkan ke akaun peribadinya di Ambank dan akhirnya digunakan dan dibelanjakan untuk manfaat sendiri.

“Ini adalah ganjaran kepada tertuduh yang jelas dan mudah,” kata hakim itu semasa membaca penghakimannya yang memerintahkan Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC, di mahkamah yang penuh sesak.

Hakim itu berkata apabila menimbangkan undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pertuduhan terhadap tertuduh di bawah kesalahan itu, fakta dilihat dengan tepat dan keterangan mesti dilihat secara menyeluruh.

Beliau berkata kepentingan tertuduh di SRC mesti dilihat dalam konteks yang betul, iaitu dari masa penubuhan SRC pada 7 Januari 2011, untuk kelulusan permohonan pinjaman oleh SRC dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) ( KWAP) pada 19 Julai 2011 serta 20 Mac 2012.

Mohd Nazlan berkata pinjaman pertama telah diluluskan oleh Kabinet pada 17 Ogos 2011 dan kedua pada 8 Feb 2012, berjumlah RM4 bilion sehingga masa wang itu, yang menjadi hak milik SRC sebanyak RM42 juta, telah dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh yang bukti juga menunjukkan bahawa ia akhirnya digunakan oleh tertuduh atas kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

“Penyertaan tertuduh dalam mesyuarat Kabinet pada 2011 dan 2012 adalah tindakan yang menyalahgunakan kedudukan yang bertujuan untuk mendapatkan ganjaran kewangan, yang menjadi kenyataan apabila RM42 juta diterimanya pada akhir 2014 dan awal 2015,” kata beliau.

Hakim itu berkata telah ditunjukkan bahawa tertuduh mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya apabila dua jaminan kerajaan untuk pinjaman daripada KWAP ke SRC diluluskan.

Beliau berkata ini jelas merupakan keputusan atau tindakan, sekurang-kurangnya dua kali, yang diambil oleh tertuduh berkaitan dengan jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC di mana tertuduh mempunyai kepentingan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

“Malah tertuduh sendiri sebagai perdana menteri yang mempengerusikan mesyuarat itu, telah membentangkan kertas Kabinet mengenai jaminan kerajaan kedua pada mesyuarat yang diluluskan pada 8 Februari 2012. Tidak ada pendedahan, apalagi percubaan untuk mengecualikan dirinya daripada perbincangan berhubung kertas Kabinet pada mana-mana mesyuarat tersebut.

“Pinjaman RM4 bilion itu tidak akan diluluskan oleh Panel Pelaburan KWAP jika tidak dengan jaminan kerajaan,” katanya.

Hakim berkata tertuduh tahu atau sepatutnya mengetahui konflik antara tugas umumnya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan di satu pihak dan kepentingan peribadinya sendiri walaupun kepentingan rahsia dalam SRC.

Beliau berkata pinjaman itu tidak akan diluluskan tanpa jaminan kerajaan dan pembayaran awal pinjaman itu tidak mungkin dilakukan jika tertuduh bukan perdana menteri atau menteri kewangan pada masa itu.

Keterangan itu menunjukkan bahawa SRC tidak seperti mana-mana syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang lain, tidak seperti kebanyakan yang lain, SRC berada di bawah kawalan dan arahan tertuduh sejak hari pertama, kata hakim itu.

“Walaupun setelah penubuhan SRC dan sebelum 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan MOF Inc menjadi pemegang saham SRC, tertuduh telah mempunyai kuasa besar dalam SRC memandangkan Artikel 67 dan 116 artikel penubuhan syarikat yang memberi kepada tertuduh sebagai perdana menteri kuasa dalam pelantikan dan menukar pengarah, serta sebarang perubahan pada memorandum dan artikel persatuan (M&A) SRC,” katanya.

Najib, dalam kapasitinya sebagai pemegang saham tunggal MOF Inc, kemudiannya mengukuhkan kedudukan pengawalannya dengan Perkara 117 dimasukkan, menjadikan perdana menteri sebagai penasihat emeritus SRC, yang nasihatnya perlu diperoleh berkaitan perkara utama, membolehkan beliau menggunakan kawalannya terhadap SRC, kata hakim itu.

“Kekuatan menyeluruh dalam M & A dan sebagai pemegang saham tunggal mempunyai kesan menjadikan tertuduh pembuat keputusan muktamad di SRC di mana tidak ada kepentingan yang boleh diputuskan oleh SRC tanpa input tertuduh,” katanya.

Kesimpulannya, Mohd Nazlan berkata apabila penilaian maksimum semua bukti yang dikemukakan di hadapannya pada akhir kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesalahan penyalahgunaan kedudukan untuk ganjaran.

“Kes prima facie telah dibuktikan terhadap tertuduh. Oleh itu, saya kini memerintahkan tertuduh untuk membela diri terhadap kesalahan itu,” katanya.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :