Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tengah) bersama atlet wushu lelaki negara, Loh Choon How (kiri) yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia dalam acara taijiquan lelak dan pingat perak dari pada Wong Weng Son dalam acara taolu changquan pada Sukan Sea Filipina di World Trade Center Manila pada 1 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sukan SEA: Jalur Gemilang tersalah cetak

MANILA, 1 DIS: Petugas Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) di World Trade Center, di sini, wajar diberi pujian selepas sedia bekerjasama dengan kontinjen Malaysia untuk menukar bendera sebelum bermula majlis penyampaian pingat emas melibatkan atlet wushu negara, Loh Choon How.

Majlis sebelum itu tertangguh hampir 20 minit, selepas kontinjen negara bersama Chef-de-mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyedari bendera yang dibawa keluar penganjur tersalah cetak dan mengarahkan penukaran dibuat.

Beliau, bagaimanapun, turut meluahkan kekesalan disebabkan perkara itu, kerana menurutnya sekretariat Malaysia telah memberi pengesahan kepada penganjur lebih awal mengenai ciri-ciri bendera yang sepatutnya digunakan dan pengesahan itu dibuat secara bertulis.

“Kita dah hantar amaran keras kepada sekretariat supaya ubah. Saya percaya kalau begini, mungkin di semua venue mereka menggunakan pembekal yang sama.

“Jadi kita minta mereka selesaikan perkara itu hari ini juga, kerana saya dimaklumkan ada beberapa acara lain yang juga telah mendapat pingat. Kita tidak mahu bendera yang sama digunakan,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kesilapan dilakukan adalah melibatkan jalur bendera Malaysia yang sepatutnya bermula dengan warna merah di bahagian atas.

Namun, petugas penganjur sebaliknya membawa bendera dengan turutan warna yang salah apabila jalur bendera disediakan pihak penganjur bermula dengan warna putih di bahagian atas dan disedari kontinjen negara.

Sementara itu, Megat Zulkarnain menyifatkan kejayaan Choon How menghadiahkan pingat emas pertama negara sebagai satu permulaan yang baik dalam misi memburu 70 pingat emas yang disasarkan.

“Walaupun kali ini mereka tidak berapa yakin, tidak meletakkan sasaran emas tetapi hari ini saya hendak ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Choon How dan kawan-kawan yang tidak pernah mengecewakan.

“Wushu kita tidak letakkan dalam senarai sasaran, tetapi ini bonus. Saya yakin mereka boleh menyinar dalam acara-acara yang lain dan ini satu permulaan. Kita langkah kanan dalam membuka secara rasmi penganjuran Sukan SEA,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :