Calon dibenarkan menduduki peperiksaan selepas disahkan bebas daripada wabak itu atau tamat tempoh kuarantin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPM, SVM, STAM dipinda kepada 22 Feb, STPM 8 Mac

SHAH ALAM 8 NOV: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda kepada 22 Februari depan.

Menteri pendidikan berkata Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak kepada 8 Mac 2021.

Dr Radzi Jidin berkata perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Bagi membantu calon peperiksaan awam 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah mulai 20 Januari 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata kesemua ketetapan itu juga terpakai kepada sekolah swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Terdapat 400,445 calon berdaftar bagi peperiksaan SPM, 7,996 STAM sementara 14, 942 (semester 2) dan 8,371 (semester 4) bagi peperiksaan SVM. Untuk calon STPM seramai 45,956 orang bagi semseter 1 dan 47,008 semester 3.

Dr Mohd Radzi berkata pihaknya juga akan menjadualkan semula semua pentaksiran berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020.

Bagaimanapun pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Dr Mohd Radzi menambah pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

Katanya pelajar akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021 sementara ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun hadapan.


Pengarang :