Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Empat mukim di Hulu Langat, Petaling zon merah Covid-19

SHAH ALAM, 27 DIS: Empat mukim di Hulu Langat dan Petaling berada dalam zon merah sepanjang tempoh dua minggu bermula 13 Disember lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mukim di Hulu Langat meliputi Ampang, Kajang, Cheras dan Semenyih.

Menurut kementerian, zon berbahaya di Petaling membabitkan Bukit Raja, Damansara, Petaling serta Sungai Buloh.

“Gombak memiliki tiga mukim zon merah iaitu Batu, Hulu Kelang dan Rawang manakala Klang, Kuala Langat serta Kuala Selangor masing-masing (dua mukim) selain satu mukim di Sepang,” tulis KKM melalui Twitter.

Kementerian melaporkan tiada mukim berstatus merah di Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Semalam, kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada kepada 710 jangkitan berbanding 461 kelmarin dengan keseluruhan kes 28,880.

Sebanyak 397 kes daripada kluster sedia ada, 198 kes saringan kontak rapat, satu kes import manakala 114 jangkitan lagi melalui lain-lain saringan Covid-19.

Baki 83 kes disumbangkan melalui kluster baharu iaitu kluster Plastik Subang dan kluster Jalan Asam yang dikesan di Petaling serta Klang membabitkan tempat kerja.


Pengarang :