NASIONAL

BN menang dua pertiga jika kurang 70% mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Barisan Nasional (BN) memiliki peluang cerah memenangi dua pertiga kerusi, di Dewan Rakyat jika kadar keluar mengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jatuh sehingga 70 peratus.

Ketua Penganalisis Politik dan Sosial Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, kajian menunjukkan peratusan keluar mengundi banyak bergantung kepada ‘mood’ rakyat terhadap kerajaan memerintah.

“Sama ada BN boleh dapat dua pertiga atau boleh ditumbangkan bergantung kepada kadar mengundi yang mana jika ia tinggi, lazimnya kerana wujud gerakan marah kepada kerajaan, sekali gus merugikan kerajaan dan menggagalkan ‘gerrymandering’.

“Jika kadar keluar mengundi jatuh sehingga 70 peratus, kemungkinan besar lebih daripada separuh BN akan dapat dua pertiga,” katanya pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE) di sini, semalam.

Beliau berkata, kajian itu berdasarkan keputusan PRU13 dengan BN, pada masa itu memperolehi 133 kerusi dengan kekurangan 15 kerusi bagi membentuk majoriti dua pertiga, di Dewan Rakyat.

Chin Huat berkata, rakyat disaran tidak melepaskan peluang untuk menggunakan sepenuhnya kuasa memilih yang diperuntukan dalam perlembagaan dengan bijak bagi menyatakan pilihan masing-masing.

“Pada masa ini, Pakatan Harapan (PAKATAN) masih berpeluang meningkatkan jumlah kerusi dimenangi atau menang PRU14 ekoran persempadanan semula yang cuba dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh membabitkan pertambahan kerusi,” katanya.


Pengarang :