NASIONAL

Nasib aktivis Adam Adli ditentukan esok

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 FEB: Nasib aktivis, Adam Adli akan ditentukan esok oleh Mahkamah Persekutuan berkenaan kesnya yang melibatkan Akta Hasutan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Adam adalah ikon anak muda berwawasan dan mempunyai jati diri yang cekal.

“Saya yakin walau apa pun keputusan, beliau akan tetap teguh dengan perjuangan menentang kezaliman,” katanya.

Keputusan akhir itu akan ditentukan pada jam 9 pagi esok di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Nik Nazmi berkata, Akta Hasutan harus dimansuhkan tanpa mengira sesiapa sahaja kerana ia bertentangan prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ia adalah undang-undang zaman penjajah British yang digunakan kepada ramai pejuang kemerdekaan.

“Selain itu, penggunaan Akta Hasutan kini tertumpu kepada pembangkang atau aktivis yang lantang mengkritik UMNO-Barisan Nasional (BN) harus dipersoal, kerana kegunaannya bersifat terpilih,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan, namun akhirnya membuat pusingan-u dan tunduk kepada tekanan UMNO untuk mengekalkannya.

“Kerajaan UMNO-BN haruslah berhenti mengugut rakyat dan menjawab segala persoalan yang disuarakan dengan hujah dan fakta. Kami menggesa pihak kerajaan untuk berhenti berselindung di sebalik undang-undang lapuk itu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa individu yang lantang bersuara menentang kezaliman kerajaan didakwa di mahkamah atas pelbagai akta perundangan di peringkat Persekutuan.

Antara individu terbabit termasuklah Nik Nazmi, aktivis Adam Adli dan Hishamuddin Rais serta kartunis Zunar, yang dikenakan di bawah pendakwaan Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Perhimpunan Aman.

=EZY=


Pengarang :