SUKANKINI

UEL: Pertembungan AC Milan-Arsenal bakal curi tumpuan

OLEH AFIX REDZUAN

EROPAH, 24 FEB: Undian peringkat kalah mati 16 pasukan terbaik Liga Europa (UEL) menyaksikan pertembungan epik dua gergasi Eropah, AC Milan dan Arsenal yang akan berentap mencari tempat ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu kali terakhir pada 2012 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) yang memihak kepada Arsenal, 3-0.

Berdasarkan rekod enam pertemuan dalam perlawanan sejak Februari 1995, kedua-dua pasukan menang dua perlawanan sementara dua perlawanan lagi berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

AC Milan merekodkan kemenangan terbesar 4-0 terhadap The Gunners pada Februari 2012 manakala Arsenal membalasnya dengan keputusan 3-0 di laman sendiri menentang Rossoneri sebulan kemudian.

Lyon yang bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan akhir UEL musim ini dalam landasan terbaik untuk menjadi pasukan kedua memenangi kejuaraan di gelanggang sendiri apabila diundi bertemu CSKA Moskva.

Sebelum ini, Feyenoord pernah melakar sejarah menang di gelanggang sendiri pada 2002 selepas menewaskan Borussia Dortmund di Rotterdam tetapi sebaliknya berlaku kepada Sporting CP apabila tewas kepada CSKA Moskva di Lisbon tiga tahun kemudian.

Sementara juara sulung Piala Europa selepas penjenamaan semula dari Piala UEFA pada 2009, Atletico Madrid diundi bertemu satu lagi wakil dari Rusia, Lokomotiv Moskva.

Kesemua perlawanan peringkat pertama dijadualkan berlangsung 8 Mac dan pusingan kedua pada 15 Mac.

Kredit Foto: UEFA.com


Pengarang :