NASIONAL

Agong: Perkasakan integriti, tadbir urus banteras penyelewengan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan perasmian pagi tadi sempat menyentuh isu integriti dan tadbir urus pentadbiran awam.

Titah baginda, hal ini kerana integriti dan tadbir urus pentadbiran awam perlu diperkasakan bagi membanteras elemen kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Usaha-usaha akan diteruskan untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih cekap bagi menjadikan Malaysia antara kelompok 20 negara teratas di dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, baginda turut mengalu-alukan penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan secara pentadbiran bagi perkara tertentu untuk membolehkan kementerian dan agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak membuat keputusan segera ke atas program dan projek untuk rakyat.

Sementara itu, baginda juga melahirkan rasa sukacita apabila pelbagai program dan aktiviti bagi memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai sektor dilaksanakan termasuk memastikan 30 peratus daripada mereka berada di peringkat pembuat keputusan.

“Kini sasaran tersebut telah tercapai dalam sektor awam dan syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia,” titah baginda.

=EZY=


Pengarang :