NASIONAL

Biayai propaganda ada duit, tapi pinggir mangsa banjir Pulau Pinang

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tindakan Kerajaan Persekutuan yang didakwa membiayai propaganda memburukkan Kerajaan Pulau Pinang dipersoalkan tetapi memberikan alasan ketiadaan dana mencukupi untuk menaikkan jumlah bantuan mangsa banjir di negeri itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan agihan bantuan berjumlah RM500, sama seperti mangsa banjir di Kelantan dan Pahang pada 2015 dalam lawatannya pada 7 November 2017 ke Pulau Pinang tetapi hanya sebahagian keluarga sahaja menerima bantuan pada jumlah RM250.

“Pada 19 Mac lalu, saya bertanyakan mengenai status dana bantuan banjir seperti yang dijanjikan Perdana Menteri kepada mangsa banjir Pulau Pinang November 2017 lalu.

“Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjawab hanya RM5,467,250 sahaja akan diagihkan kepada 21,869 keluarga di Pulau Pinang dengan setiap keluarga menerima RM250. Wang itu hanya diagihkan pada 11 Mac 2018, empat bulan selepas bencana melanda.

“Apabila saya memohon di Parlimen agar Kerajaan Persekutuan menaikkan jumlah bantuan kepada RM500, jawapan menteri adalah Kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk tujuan tersebut.

“Ini bukan sahaja mengecewakan malah amat mengejutkan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Pusat Media Parlimen beliau berkata, pihaknya hanya meminta jumlah sama yang diberikan kepada mangsa banjir negeri lain seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.

“Barisan Nasional boleh membelanjakan jutaan ringgit di Pulau Pinang untuk membiayai video palsu bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan Negeri, namun tidak cukup dana umembantu mangsa banjir,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Pulau Pinang telah mengagihkan RM36,647,100 kepada 52,353 keluarga pada Disember 2017 dengan setiap keluarga menerima bantuan RM700.

=EZY=


Pengarang :