SELANGOR

RM65 juta jana ekonomi, reformasi pembangunan Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 26 MAC: Pembangunan pesat ekonomi dan fasiliti di daerah Gombak terus dilaksanakan secara komprehansif.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RM65 Juta disalurkan Kerajaan Negeri bagi memastikan daerah itu terus menerima manfaat pembangunan seimbang dengan daerah lain di Selangor.

“Pembangunan ini meliputi agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perparitan Negeri Selangor.

“Banyak program pembangunan yang dilaksanakan memandangkan keperluan pembangunan ekonomi yang rancak dan positif di daerah Gombak.

“Ini termasuklah aspek dinamika demokrasi yang sedang berlaku di daerah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Traf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua, petang ini.

Mohamed Azmin berkata, daerah itu berpotensi untuk terus menyumbang kepada perolehan ekonomi mampan negeri berdasarkan perkembangan pesat pelbagai industri di kawasan itu.

Kejayaan itu katanya sekali gus meletakkan Gombak sebagai antara daerah yang mengalami pertumbuhan pesat pembangunan dan faktor ekonominya di Selangor.

“Kemajuan dinikmati ini bukan hanya terbaik di Selangor, tetapi tidak mustahil perkembangan pesat ini turut dirasai di peringkat lain termasuk di negara ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Terdahulu, pelbagai kemudahan infrastruktur baru dan pembangunan mampan giat dilaksanakan di daerah itu sebagai jaminan manfaat jangka panjang penduduk setempat.

Antara inisiatif dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri termasuklah bantuan kewangan berterusan bagi meningkatkan aspek fasiliti dan jaringan pengangkutan di daerah itu.


Pengarang :