NASIONAL

ANAK: Peluang PAKATAN miliki 20 kerusi Felda cerah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 APR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) melihat sentimen yang kuat dalam kalangan generasi kedua peneroka Felda untuk melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, perkembangan memberi peluang buat Pakatan Harapan (PAKATAN) menang di 20 daripada 54 kawasan parlimen di kawasan tanah Felda seluruh negara bertambah cerah.

“Saya tidak pernah bertemu satu keadaan di mana sensitiviti anak peneroka generasi pertama dan kedua sangat baik dan mereka peka dengan apa yang berlaku, mereka menubuhkan berpuluh ‘grup whatsapp’ anak peneroka dengan 80 peratus dalam kalangan mereka mempunyai kecenderungan berubah.

“Keadaan ini sangat berbeza dengan tahun 2013 di mana kalau suasana ini diterjemahkan ke peti undi, ada 80 peratus berkecenderungan melakukan perubahan dalam PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ‘Taklimat Khas Media, Felda Di Perah!’ di Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Jelasnya, Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahunya, PAKATAN mempunyai peluang cerah untuk ke Putrajaya sekiranya berjaya menawan 20 kerusi terbabit.

Katanya, keadaan ini jauh berbeza dengan sentimen peneroka generasi kedua yang jelas cenderung menyokong kerajaan sebelum berlangsungnya PRU-13 pada 2013 lalu.

“Bayangkan tanah ada 10 ekar, hutang RM100,000 sedangkan pekebun kecil sawit di kampung-kampung mereka boleh dapat RM6,000 ke RM7,000 sebulan berbanding peneroka RM2,000 hingga RM3,000 nak tolak hutang lagi. Apa yang tinggal pada mereka?

“Begitu juga dengan peneroka Felda getah, pendapatan purata sebulan RM300 hingga RM700 di tambah lagi dengan isu penyelewengan Felda, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya lagi.


Pengarang :