NASIONAL

Bas percuma disediakan sempena Sambutan Kemerdekaan 2018

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Pengunjung yang berhasrat untuk menghadiri Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 boleh menaiki 30 bas percuma yang disediakan bermula jam 6.00 pagi untuk ke Dataran Putrajaya.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara Jabatan Perdana Menteri (JPM), Rozainor Ramli berkata, perkhidmatan bas percuma sehingga jam 2.00 petang itu akan ditempatkan di tiga lokasi hentian utama.

“Lokasi A laluan terlibat adalah Putrajaya Sentral – My Farm – Ayer 8 – Kiblat walk.

“Lokasi B laluan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Presint 4 – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Presint 5 – Taman Seri Empangan – Lebuh Wadi Ehsan – Belakang Istana Kehakiman.

“Lokasi C pula dari Park & Rode Presint 14 – Kompleks E – Lebuh Perdana Selatan – Lebuh Bestari – Belakang Istana Kehakiman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018, Datuk Ibrahim Abdul Rahman di Pusat Media Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya selepas selesai raptai penuh.

Katanya, sejumlah 6,000 parkir awam disediakan sekitar Putrajaya dan orang awam dilarang daripada melintas ke kawasan bersebelahan sepanjang acara berlangsung serta dinasihatkan supaya mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dijangka tiba pada jam 8 pagi dan pulang sekitar jam 10.10 pagi.

“Untuk sambutan kali ini, kita mengekalkan persembahan pancaragam gabungan pasukan beruniform 524 orang pemuzik.

 

“Persembangan khas Sayangi Malaysiaku melibatkan perbarisan dan pameran 369 darat dari Polis, Tentera, Bomba dan APMM serta turut disertai pertunjukan 68 aset udara,” katanya.

Jawatankuasa penganjur juga menyediakan empat lokasi untuk juruvideo dan jurukamera bertugas bagi memudahkan mereka membuat liputan.

Semua petugas media turut diwajibkan memakan tag nama khas yang disediakan dan dinasihatkan memakai baju bewarna gelap.

Seramai 502 petugas media sudah mendaftar untuk membuat liputan dari 49 agensi dan sembilan daripadanya media antarabangsa.

Selain itu, jawatankuasa juga menyediakan kemudahan wi-fi percuma, sistem perkongsian gambar dan ruang kerja buat petugas media di di Pusat Media.

Turut diingatkan, hanya media rasmi dilantik sahaja dibenarkan untuk membuat liputan di aras atas bangunan dan hanya satu drone digunakan sepanjang perbarisan.

Ini merupakan kali ketiga Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ dilangsungkan di Dataran Putrajaya dengan penganjuran sebelumnya pada 2003 dan 2005.

Beberapa acara menarik seperti Konsert Gegar Ria dan Pameran Diraja Floria diadakan sehingga Ahad.

 


Pengarang :