PENDIDIKANSELANGOR

Pra sekolah KEMAS Selangor lahir kanak-kanak berpotensi

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 SEPT: Pendidikan pra sekolah dijayakan KEMAS Selangor berjaya membina keyakinan diri dan mengasah bakat kanak-kanak dalam persediaan mereka memasuki alam persekolahan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, penganjuran Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor diadakan itu mendedahkan kanak-kanak yang mendapat pendidikan di KEMAS, berjaya mengembangkan bakat dan kebolehan masing-masing.

“Diharapkan program ini dapat membuka mata masyarakat terutama ibu bapa akan betapa pentingnya peranan KEMAS dalam memberikan pendidikan kepada kanak-kanak bermula dari peringkat awal.

“Ini kerana pendidikan pra sekolah ini amat penting untuk kanak-kanak sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan,” katanya dalam majlis perasmian penutup Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Dato’ Amiruddin Ariffin dan Pengarah KEMAS Selangor, Khairuddin Md Nasir.

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, kejayaan dalam melaksanakan majlis itu membuktikan hasil kerjasama erat semua kakitangan KEMAS Selangor dan pihak berkaitan dari pelbagai peringkat.

“Tahniah kepada KEMAS Selangor kerana berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya hasil kerjasama semua kakitangan dan pihak berkaitan.

“Semangat seperti ini amat diperlukan untuk menjayakan sesebuah jabatan atau agensi yang menjadi tunjang kepada kerajaan dan sentiasa menjadi perhatian rakyat,” katanya.

Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor disertai semua daerah di negeri itu diadakan pada 1 hingga 2 September lalu bagi memilih wakil Selangor ke peringkat kebangsaan di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan dari 22 hingga 25 November depan.

Pertandingan peringkat Selangor bagi acara bakat dan sukan membabitkan sembilan acara iaitu bercerita, story telling, tilawah dan terjemahan, rekacipta, pidato, tarian, nasyid, boneka tangan serta kompang berformasi.


Pengarang :