NASIONAL

1MDB: SPRM ‘gegar’ Najib lagi

PUTRAJAYA, 18 OKT: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini, dipercayai berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan BERNAMA, bekas perdana menteri tu hadir ke ibu pejabat SPRM, di sini kira-kira jam 9 pagi dan keluar lebih empat jam kemudian.

Kenderaan Toyota Alphard berwarna putih miliknya kelihatan keluar melalui pintu belakang bangunan SPRM, pada jam 1.30 petang.

Sebelum ini, Najib beberapa kali dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM atas 32 pertuduhan didakwa di mahkamah.

Pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Manakala pada 20 September lalu, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.


Pengarang :