EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia melantun pagi ini

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan pada Isnin, disokong oleh aktiviti hari ini yang diramalkan tidak besar manakala dagangan agak bergelombang kerana peserta pasaran masih menunggu keputusan pilihan raya pertengahan Amerika Syarikat (AS).

Aliran positif pada pembukaan dilihat sebagai sedikit pemulihan selepas saham AS menerima lebih banyak kerugian yang ditanggung sewaktu jualan besar-besaran pada Oktober.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.76 mata kepada 1,713.56 daripada 1,708.80 pada penutup Isnin.

Indeks dibuka meningkat 3.91 mata kepada 1,712.71.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, dari perspektf teknikal, prospek FBM KLCI masih menurun memandangkan ia kekal di bawah purata pergerakan utamanya.

“Tahap sokongan segara untuk diperhatikan adalah 1,680 dan 1,650, yang mana penembusan di bawahnya akan dianggap sangat negatif,” kata firma berkenaan dalam nota penyelidikannya hari ini.

Pasaran ditutup semalam kerana cuti Hari Deepavali.

Pasaran secara keseluruhan, untung mengatasi rugi 123 kepada 78 dengan 149 kaunter tidak berubah, 1,503 tidak didagangkan dan 19 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah 90.04 juta unit bernilai RM114.87 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, PChem menokok 28 sen kepada RM9.98, CIMB dan IHH masing-masing meningkat lima sen kepada RM5.73 dan RM5.05, manakala Genting dan GENM yang menjadi tumpuan pada Isnin menokok 13 sen dan 10 sen kepada RM6.87 dan RM3.71.

Waran Genting meningkat setengah sen kepada 3.5 sen.

Dalam kalangan kaunter aktif, Pesona dan K1 masing-masing meningkat satu sen kepada 26.5 sen dan 31.5 sen, NGGB menokok 3.5 sen kepada 62.5 sen manakala warannya menambah 2.5 sen kepada 32 sen.

DSonic meningkat satu sen kepada 46 sen, tetapi Frontkn susut 1.5 sen kepada 83 sen.

Indeks FBM Emas Shariah susut 1.52 mata kepada 11,981.57, Indeks FBM Ace meningkat 27.82 mata kepada 4,980.93 dan FBM 70 susut 9.47 mata kepada 13,791.62.

Indeks FBM Emas meningkat 13.54 mata pada 11,853.31 dan Indeks FBMT 100 mengumpul 23.10 mata kepada 11,706.05.

Megikut sektor, Indeks Perladangan susut 25.77 mata kepada 7,375.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrain meningkat 1.99 mata pada 176.52, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.59 mata kepada 17,2745.86.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :