BERITA UTAMAPBTSELANGOR

PJ Fair 2018 diiktiraf Program Pertukaran Kebudayaan Antarabangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 11 NOV: Festival Petaling Jaya atau PJ Fair 2018 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Dataran Petaling Jaya di sini, semalam, diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai Program Pertukaran Kebudayaan Antarabangsa.

Pengiktirafan itu diberikan ekoran ia menjadi pentas pertukaran kebudayaan dengan persembahan dari lapan negara seperti Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Filipina, Iran, Finland dan Malaysia.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Mohd Zain berkata, penganjuran festival itu bertujuan mempromosikan Petaling Jaya sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa melalui kepelbagaian dan keharmonian budaya komunitinya serta persekitaran perbandaran mampan.

“Selain itu, ia juga menyokong pelaksanaan pelan induk ‘PJ Sustainable 2030’ dan dasar perbandaran di peringkat global khususnya berkaitan aspek pembangunan budaya dan komuniti.

“Program utama festival tahun ini menjurus kepada mempromosikan kepelbagaian dan keharmonian budaya juga kesenian komuniti setempat serta antarabangsa dengan tema ‘International Folklore Fetival’,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan tema itu kali kedua dibuat selepas penganjuran sama, pada 2014 dan PJ fair 2018 memasuki tahun keenam sejak dimulakan, pada 2013.

Katanya, PJ Fair 2018 bermula dari 4 hingga 11 November ini juga disajikan dengan pelbagai acara menarik berciri ‘crowd puller’, ‘trendy’ dan ‘lifestyle’ antaranya persembahan kebudayaan, konsert artis tempatan, Malaysian Book of Records (The Most Number of Mannequin Challenge Participants), Asian Corner, Pledge and Plant A Tree (World Habitat’s Day), PJ Fun Colour Run, Smart Ride dan International Netball Championship.

Persembahan kebudayaan lapan negara itu adalah acara kemuncak malam tadi seterusnya Konsert Evolusi PJ Selangor.fm menampilkan artis tempatan seperti XPDC, Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop Ahmad, Aina Mentor dan Maynine Band.

Seperti mana festival sebelumnya, PJ Fair 2018 mendapat sambutan meriah dengan penyertaan lebih 100,000 peserta pelbagai bangsa dari kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Majlis perasmiannya disempurnakan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Selain Mohd Azizi dan Rashidi, majlis itu turut dihadiri Datuk Bandar Seongbuk Gu (Korea Selatan), Lee Seongro; Datuk Bandar Asan (Korea), Oh Sea Hyun; Datuk Bandar Miyoshi (Jepun), Hayashi Isao; wakil walikota Bandung (Indonesia), Djatniko Ketut Donny serta wakil beberapa negara lain.


Pengarang :