SELANGOR

Juara MSSM tujuh tahun bukti kepentingan kecemerlangan sukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Pendidikan Selangor bukan sahaja fokus terhadap kecemerlangan akademi tetapi turut mementingkan kecemerlangan sukan di kalangan pelajar.

Pengarahnya, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, perkara itu terbukti apabila Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) berjaya mempertahankan kejuaraan di peringkat kebangsaan sejak 2001 hingga 2017.

“Sebagai contoh, MSSS menjuarai Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tujuh tahun berturut-turut.

“Baru-baru ini, kita juga menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan Majlis Sukan dan Kebajikan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia di mana kontinjen terdiri daripada guru dan kakitangan pelaksana Selangor meraih keputusan cemerlang,” katanya kepada media pada acara Larian Ceria Pendidikan di Taman Negara Botani Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mohd Salleh berkata, pencapaian terbabit dianggap sesuatu amat membanggakan Jabatan Pendidikan Selangor.

Berhubung acara larian itu, beliau berkata, kutipan dana melaluinya akan diagihkan kepada golongan pelajar memerlukan.

“Selepas ditolak kos penganjuran, bakinya disumbangkan kepada sekolah atau pelajar memerlukan,” katanya.


Pengarang :