Selangorkini
SELANGOR

Cuaca cerah pada penamaan calon PRK Semenyih

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 16 FEB: Cuaca pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pagi ini, berada dalam keadaan baik.

Berdasarkan tinjauan SelangorKini, lebih 100 penyokong mula hadir seawal jam 7.30 pagi di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di sini.

Penamaan calon dijangka bermula seawal jam 9 pagi ini.

Terdahulu, Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAKATAN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Aiman, 30, seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Manakala, Barisan Nasional (BN) menamakan Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi sebagai calon.

Zakaria, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

 


Pengarang :