SUKANKINI

Malaysia sasar 3 pingat emas di Bangkok

KANGAR, 18 FEB: Malaysia menyasarkan tiga pingat emas pada kejohanan Muay Thai dunia yang akan diadakan di Bangkok, Thailand, pada Mac ini.

Presiden Muay Malaysia, Datuk Mohd Fairus Urep berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan kejayaan juara dua kali berturut-turut, pada 2017 dan 2018.

“Kita yakin kali ini dapat tambah bilangan pingat kepada tiga dan kekalkan kejuaraan seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Muay Amatur Remaja 2019 di sini, malam tadi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kejohanan itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Julia G. Bentley.

Mohd Fairus berkata, Malaysia menggunakan landasan kejohanan itu bagi memilih peserta mewakili negara ke Kejohanan Muay Thai Dunia ke-16 anjuran World Muaythai Federation (WWF), pada 12 hingga 20 Mac ini.

Bagi kategori 51-54 kilogram (kg) disandang oleh Ariff Suhail dari Kedah, petinju tuan rumah Mohd Radzi Ismail muncul juara bagi kategori 54-57kg, manakala Mohd Adam dari Pulau Pinang mengungguli kategori 58-60kg.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah supaya semua penggiat Muay Thai terus membawa sukan terbabit ke peringkat lebih tinggi dan tidak terhenti sekerat jalan.

Baginda bertitah, semua pihak perlu menggunakan kelebihan yang ada pada negara berhampiran Thailand untuk mewujudkan pendekatan strategik dan program jangka panjang ke arah pembangunan sukan berkenaan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :