GLOBALSUKANKINI

PL: City kejar Liverpool, United teruskan kemenangan

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 4 FEB: Manchester City terus mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Sergio Kun Aguero muncul wira The Citizen dengan meledak hatrik sekali gus merapatkan jurang kepada dua mata dan kekal di tangga kedua.

Aguero membuka jaringan seawal minit pertama permainan selepas menanduk hantaran Aymeric Laporte yang berjaya merampas bola daripada pertahanan Arsenal dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, The Gunners tidak menunggu lama apabila Laurent Koscielny menyamakan kedudukan 1-1, 10 minit kemudian apabila menanduk masuk bola ke gawang tuan rumah.

City terus mengasak dan akhirnya kembali di hadapan sebelum penghujung babak pertama berakhir apabila Aguero sekali lagi mudah menampan lorongan Raheem Sterling bagi kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, Arsenal tidak mampu untuk merapatkan jurang jaringan sebaliknya Aguero menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-61.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal turun ke tangga keenam, satu mata di belakang Manchester United yang sebelum itu menewaskan Leicester City 1-0 hasil jaringan tunggal Marcus Rashford.

Kemenangan United itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.


Pengarang :