Anak sulung Sai Wah sukar terima hakikat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Anak sulung Sai Wah sukar terima hakikat

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Anak sulung mangsa kedua yang dikenal pasti terkorban akibat kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia, semalam sukar menerima hakikat ibunya, Lim Sai Wah, 56, pergi buat selama-lamanya.

Tan Peng Cheng berkata, ia suatu tragedi buat dirinya dan satu perkara yang sukar diterimanya.

“Ibu saya seorang suri rumah tangga yang biasa, kami empat adik-beradik bersyukur dan dijaga dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada BERNAMA menerusi aplikasi WhatsApp selepas tiba di Lombok, hari ini.


Terdahulu, Sai Wah bercuti ke tempat peranginan berkenaan dengan suaminya Tan Ching Chuan, 62, yang turut mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

Seorang lagi yang terbunuh ialah Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim.

Peng Cheng berlepas ke Lombok pagi tadi untuk urusan susulan kejadian tersebut, serta melihat dan membawa pulang bapanya ke tanah air.

Mendiang Sai Wah sebelum ini bergiat aktif dalam yoga lebih daripada 10 tahun dan sepatutnya menduduki peperiksaan pada bulan Jun ini untuk mendapatkan sijil kelayakan mengajar.

Mentornya, Hei Hong Ling berkata Sai Wah menghadiri kelasnya setiap kali, walaupun perjalanan agak jauh dari Jementah ke Segamat, Johor.

“​​​​Beliau pernah kongsi pengalamannya dalam pembelajaran yoga, ia membawa perubahan yang ketara bagi diri dan kehidupannya,” katanya.

Hong Ling yang sempat berjumpa Peng Cheng pada Rabu lepas berkata, pada perjumpaan itu, Sai Wah kelihatan gembira dan ceria kerana hendak pergi bercuti, beliau tidak pula menyangka itulah pertemuan terakhir mereka.

“Beliau seorang yang rajin dan baik hati, saya tidak percaya apa-apa berita yang dilaporkan media sosial (mengenai kematiannya), sehingga pengesahan rasmi dibuat pagi ini,” katanya.

Selain dua yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, Wisma Putra hari ini turut mengesahkan tujuh mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Lombok manakala 13 lagi terselamat.

Kesemua 22 warga Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2.07 petang semalam.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next