Bekas Naib Presiden MIC maut di Kulai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Bekas Naib Presiden MIC maut di Kulai

JOHOR BAHRU, 27 MAC: Bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S Balakrishnan, bersama tiga lagi individu maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kulai, dekat sini, tengah malam tadi.

Selain pemimpin berusia 65 tahun itu, turut maut ialah G. Ravi, 55, A. Ragu, 47, dan V. Vishnukumar, 44 tahun.

Sementara itu, dua lagi lelaki yang turut bersama Balakrishnan ketika kejadian dilaporkan cedera.


Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam ketika kereta jenis Toyota Vellfire yang dinaiki kesemuanya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Bagaimanapun, katanya, sampai di satu kawasan, sebuah lori dari arah bertentangan dilaporkan hilang kawalan lalu melanggar besi tengah pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan dinaiki Balakrishnan.

Beliau berkata, kenderaan mangsa kemudian sekali lagi dilanggar kenderaan lain (Proton Wira) yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru yang gagal mengelak kejadian.

“Akibat kejadian, empat penumpang (termasuk pemandu) kereta Toyota Vellfire itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori dan Proton Wira itu dilaporkan selamat manakala kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next