EKONOMI

POC2019 landasan industri minyak sawit bincang cabaran semasa

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-30 (POC 2019) anjuran Bursa Malaysia bakal menghimpunkan peserta industri membincangkan isu semasa paling utama dihadapinya serta tindakan yang perlu diambil.

Bertemakan ‘Menguruskan Ketidaktentuan, Memanfaatkan Peluang Global’ acara dua hari bermula 5 Mac itu akan mengetengahkan barisan penceramah bereputasi tinggi untuk berkongsi kepakaran dalam dua sesi pleno, tiga sesi panel serta pembentangan mengenai ekonomi global semasa.

Acara itu juga akan membincangkan kertas kerja prospek harga minyak laurik, biodiesel dan oleokimia.

Penceramah yang akan ditampilkan semula pada POC 2019 termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik CME Group, Christopher Fix; Pengerusi LMC International, Dr James Fry; Naib Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd, Datuk Carl Bek-Nielsen dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr Kalyana Sundram.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar berkata, pihaknya yakin dapat bersama menghasilkan penyelesaian positif memandangkan Bursa Saham sentiasa didorong strategi inovatif bagi menangani cabatan industri.

“POC 2019 diadakan tepat pada masanya untuk mewujudkan penglibatan perbincangan dalam kalangan pakar industri berkaitan ketidaktentuan yang berlaku sejak tahun lepas, krisis perdagangan global serta ketidakseimbangan bekalan dan permintaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak tiga dekad lepas, POC berperanan penting dalam menggalakkan inovasi dan pertumbuhan mampan industri minyak dan lelemak dunia.

Katanya, Bursa Malaysia sentiasa berusaha menambah baik ekosistem itu, memperkenalkan peningkatan kepada produk serta menyediakan lebih banyak peluang perdagangan kepada peserta industri sekali gus membolehkan mereka mengharungi ketidaktentuan dalam industri secara lebih baik.

– BERNAMA


Pengarang :